Skip to main content

SubhanAllah Alhamdulillah, Allahu Akbar.

Sungguh, perjalanan yang panjang dari jam 6 pagi hingga 2 pagi, tapi amat bermakna buat saya dan tim pada hari ini. Kisahnya bermula kami check out daripada tempat penginapan di Bandar Kuching seawal jam 6.30 pagi dan terus menuju Kabong dan Sibu, untuk program kebajikan dan ceramah.

Kami tiba di Jeti Sebuyau-Triso untuk menaiki feri pertama lebih kurang 30 minit perjalanan. Setiba di Triso, kami berjalan kaki di sekitar kawasan tersebut dan sempat bertegur sapa dengan seorang peniaga, Ummi Ros secara live.

Ada yang bertanya, kenapa kami bersusah payah ikut jalan darat dan laut yang panjang sedangkan boleh naik flight terus ke lokasi?

SubhanAllah, sebenarnya kami ingin rasai sendiri pengalaman masuk ke kawasan pedalaman melalui jalan sebegini. Kemudian kami teruskan lagi perjalanan menaiki feri kedua di jeti Sungai Saribas dalam 10 minit sebelum menaiki 7 buah kenderaan melalui jalan pedalaman yang berbatu di mana memakan masa selama 1 jam menuju Kampung Batang Maro, Pusa.

Alhamdulillah perjalanan yang lancar walaupun jauh, namun kami dapat mulakan misi kebajikan waktu tengahari dan selesai pada jam 2.30 petang bersama pihak HIKMAH. Sungguh, sebak rasa saat ziarah warga emas dan orang sakit di kampung ini. Ada seorang lelaki yang sudah berusia, terlantar selama 5 tahun akibat sakit saraf, syukur beliau diuruskan oleh keluarga. Kemudian bila kami berbual dengan golongan warga emas dan penduduk kampung, rasa sayu di hati.

Jujur sebenarnya saat itu saya tak dapat menahan sebak. Semoga semua penduduk kampung ini sentiasa dalam lindungan dan kasih sayang Allah Ya Wali, yang Maha Melindungi serta dikurniakan kesihatan yang baik.

Rasulullah SAW ada mengajarkan kita doa untuk dibaca ketika menziarahi orang sakit seperti hadis berikut, daripada Saidatina Aisyah r.a., beliau menceritakan:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُعَوِّذُ بَعْضَهُمْ يَمْسَحُهُ بِيَمِينِهِ {أَذْهِبِ الْبَاسَ رَبَّ النَّاسِ وَاشْفِ أَنْتَ الشَّافِي لَا شِفَاءَ إِلَّا شِفَاؤُكَ شِفَاءً لَا يُغَادِرُ سَقَمًا}

Maksudnya: “Ketika Rasulullah SAW menziarahi orang sakit lantas Baginda memohon perlindungan kepada sebahagian mereka dengan menyapu tangan kanannya seraya berdoa: {“Hilangkanlah kesakitan wahai Tuhan manusia, sembuhkanlah kerana Engkau Maha Penyembuh, tiada kesembuhan kecuali kesembuhan engkau, sembuh yang tidak membawa kepada sebarang sakit.”} (Muttafaqun Alaih, hadis sahih)

Selesai misi kebajikan di Kampung Batang Maro, kami teruskan perjalanan ke Sibu bagi persediaan ceramah dan jualan di Masjid An-Nur, yang mengambil masa kira-kira 4 jam dari Pusa. SubhanAllah, tajuk yang dibawakan kali ini adalah “KELUARGAKU LADANG PAHALAKU”.

Pengisian kuliah dimulakan dengan zikrullah beramai-ramai, kemudian disentuh juga tentang niat hadir ke rumah Allah serta adab-adabnya.

Daripada Saidatina Aisyah r.a., Rasulullah SAW bersabda:

خَيْرُكُمْ خَيْرُكُمْ لِأَهْلِهِ وَأَنَا خَيْرُكُمْ لِأَهْلِي

Maksudnya: “Sebaik-baik kalian adalah yang paling baik terhadap ahli keluarganya, dan aku adalah orang yang paling baik terhadap ahli keluargaku. (HR Tirmidzi, hadis sahih)

Sebenarnya ramai yang usaha untuk jadi baik di mata orang luar tetapi bersikap sambil lewa dengan keluarga sendiri, sedangkan ahli keluargalah yang paling rapat dan selalu bantu ketika kita susah. Sebab itu keluarga merupakan ladang pahala yang paling besar. Antara amalan terhadap ahli keluarga yang baik namun sering diambil mudah adalah senyum, sabar, saling mendoakan dan berbakti kepada mereka.

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW adalah sebaik-baik teladan untuk kita ikuti, subhanAllah.

Video penuh Kuliah Maghrib di Masjid An-Nur, Sibu boleh tonton di sini ya : https://fb.watch/dUdClVJLjo/ Masjid An-Nur antara masjid yang mendapat anugerah bertaraf 5 bintang pada tahun 2018, kerana cemerlang dari segi pengurusannya, majlis ilmunya dan kebajikan kepada masyarakat sama ada terhadap orang Islam atau bukan Islam.

Saya percaya kehebatan masjid ini bukan pada binaannya, tetapi pada niat orang yang membangunkan, para penyumbang dan seluruh masyarakat yang mengimarahkannya.

Allahu Akbar.

Tuan Puan, Sungguh kami tak sangka malam ini merupakan malam terakhir di Sarawak bagi misi jelajah pada kali ini selama 4 hari. Terima kasih warga Sarawak, wakil tim SAC Sarawak dan pihak HIKMAH atas kerjasama dan kenangan yang indah ini.

Semoga bumi Sarawak ini menjadi saksi atas pertemuan kita bersama lalu dikumpulkan di Syurga-Nya kelak.

Sayang semuanya kerana Allah dan Rasulullah SAW. Jam 2.15am baru selesai urusan di masjid dan menuju tempat penginapan sebelum kembali meneruskan pula program kebajikan seawal pagi esok.

Doakan ya. Begitulah sedikit perkongsian tentang musafir kami selama 20 jam hari ni, jika anda tertanya apa yang kami buat di Sarawak, bermula musafir awal pagi Khamis hingga hari Ahad, boleh ikuti melalui page rasmi Ustazah Asma Harun ya.

Asma’ binti Harun

———————————–

INFAQ MISI KEBAJIKAN SARAWAK SAHABAT AMAL CARE:
https://toyyibpay.com/SahabatAmalCare (Ansi System) Atau

PERTUBUHAN SAHABAT AMAL PRIHATIN N9
MAYBANK 555126543538

#UAHSahabatDuniaAkhirat
#KembaraIlmuSarawak