Skip to main content

“Kami tak minta untuk jadi kaya, tapi kami berusaha untuk hidup sederhana, cukup makan Alhamdulillah”

luah Encik Nasaruddin dengan linangan air mata saat menceritakan keperitan hidupnya.

Encik Nasaruddin merupakan seorang peniaga burger jalanan selama beberapa tahun, namun disebabkan pandemik yang melanda, beliau terpaksa menutup perniagaannya dan mencari rezeki dengan menjadi pembantu am di pasar demi menyara keluarga.

Dengan pendapatan hanya RM50 sehari, tidak mencukupi untuk menampung keperluan keluarganya dan membayar komitmen lain. Disebabkan tidak mampu membayar sewa rumah lagi, mereka sekeluarga terpaksa berpindah dan menumpang sementara di rumah orang dengan kadar sewa yang mereka mampu bayar.

Lebih membebankan, isterinya menghidap sakit migrain yang kronik, tekanan darah rendah dan sering mengigil. Bahkan, beliau juga kerap kali pengsan ketika melakukan kerja-kerja rumah. Beliau pernah membuat rawatan di klinik swasta namun tidak dapat meneruskan rawatan kerana perlu menjaga anak-anak yang masih kecil.

Pasangan suami isteri ini dikurniakan dua orang anak yang berumur 7 dan 4 tahun.

Anak sulongnya baru sahaja didaftarkan ke tahun 1 bulan Julai tempoh hari. Anaknya didaftarkan lewat kerana masalah kewangan dan tidak mampu membeli peralatan dan yuran sekolah lainnya.

Encik Nasarudin mengumpul sedikit demi sedikit wang simpanan sehinggalah mampu mendaftarkan anaknya pada pertengan bulan. Meskipun lewat kemasukan ke sekolah, beliau tetap mengutamakan pelajaran anaknya kerana anak-anaklah keutamaan beliau.

Baru-baru ini, anak sulungnya terpaksa ‘dikuarantinkan’ kerana mengalami gejala batuk dan demam yang berpanjangan. InshaAllah anaknya akan masuk ke sekolah pada awal bulan Oktober ini.

Alhamdulillah, kita dapat menyalurkan bantuan dari Tabung Pendidikan SAC untuk membiayai persekolahan anaknya seperti buku, baju sukan dan membayar yuran PIBG sekolah. Alhamdulillah tim SAC sempat juga berjumpa dengan JPK HEM sekolah iaitu Cikgu Ismarizal untuk berbincang mengenai kemaslahatan pembelajaran anak Encik Nasarudin dan hal ehwal pelajar-pelajar asnaf di sekolah tersebut.

“Ya Allah saya rasa ajaib sangat aturan Allah untuk saya ustazah. Satu-satu Allah perkenankan doa-doa saya. Saya nak sihat dan saya nak kerja bantu suami saya”,

luah isterinya dengan tangisan air mata. Sehubungan itu, kita membawa isteri Encik Nasaruddin mendapatkan pemeriksaan perubatan sepenuhnya di Klinik Anda, Senawang.

Alhamdulillah rawatan masih berjalan sehingga sekarang dan Tabung Perubatan Sahabat Amal Care akan menaja rawatan isteri beliau sepenuhnya sehingga selesai InshaAllah. Manakala, di bawah bantuan dari Tabung Kebajikan juga kita telah berikan sumbangan pampers kanak-kanak untuk kedua-dua anak beliau.

Di samping itu, barang asas seperti beras, telur, pek bihun dan lain-lain lagi turut diberikan. Bantuan yang diterima amat membantu dan memberi semangat Encik Nasaruddin sekeluarga dalam meneruskan kehidupan. Begitu juga dengan sedikit sumbangan keperluan rumah, sedikit sebanyak dapat menampung kehidupan mereka sekeluarga.

Kami daripada tim Sahabat Amal Care merakamkan jutaan terima kasih di atas infaq dan sumbangan sahabat semua. Sungguh kebaikan yang dijalankan ini tidak mampu untuk kami lakukan tanpa sokongan dan doa yang berterusan daripada anda semua. Encik Nasaruddin dan isteri tidak henti-henti meluahkan rasa syukurnya atas bantuan yang diterima.

Semoga bantuan yang diberikan ini dapat meringankan beban yang mereka hadapi, di samping menggembirakan dan menyenangkan hati mereka.

Semoga Allah memberkati segala usaha kita dalam setiap kerja amal ini.

InsyaAllah amin.

Asma’ Binti Harun

Penaung dan Pengasas NGO Sahabat Amal Care

……………………………………………..
INFAQ TABUNG KEBAJIKAN SAHABAT AMAL CARE :
https://toyyibpay.com/SahabatAmalCare (Ansi System) atau

PERTUBUHAN SAHABAT AMAL PRIHATIN NEGERI SEMBILAN
MAYBANK 555126543538

#SahabatAmalCare
#UAHSahabatDuniaAkhirat