Skip to main content

Projek SAC

Dakwah

Dakwah merupakan antara salah satu matlamat dan tujuan utama penubuhan Sahabat Amal Care. Kita berdakwah bukan sahaja kepada non muslim tetapi juga kepada umat Islam. Misi dakwah dijalankan dengan pelbagai cara dan inisiatif berbeza. InsyaAllah, dalam setiap aktiviti dan program yang dijalankan akan diselitkan eleman dakwah sama ada secara terang ataupun tersembunyi. 

Sambutan Tahun Baru Cina

Islam mengajarkan umatnya untuk membuat kebaikan kepada semua manusia tidak kira bangsa juga agama. Alhamdulillah, itulah juga apa yang SAC terapkan dengan kita bersama menyambut perayaan bangsa lain. Seperti contoh SAC telah menyediakan hadiah untuk berkongsi kepada masyarakat berbangsa cina sebagai tanda untuk menyantuni dan mengeratkan hubungan yang terjalin. 

Pusat Gelandangan Dapur Kausar

Pusat Gelandangan Dapur Kausar yang bertempat di Seremban merupakan pusat berkumpulnya gelandangan di sekitar kawasan itu. Kebanyakan dari mereka adalah golongan warga emas dan ramai juga dari mereka adalah non-muslim. 

Tim Dakwah mengambil peluang ini mendekati mereka dengan tujuan untuk menyebarkan dakwah dan membantu dari segi kebajikan dengan mendaftarkan mereka di bawah penerima sumbangan Gerobok Prihatin. 

Disebabkan kebanyakan daripada mereka adalah warga emas yang tiada pendapatan, sakit, tinggal berseorangan dan tiada pengangkutan menyebabkan tim akan turun ke Pusat Gelandangan tersebut dengan membawa pek barang asas, telur dan beras untuk diberikan kepada mereka.

Kuliah Dhuha Perdana

Kuliah Dhuha Perdana merupakan antara program besar dibawah Unit Dakwah. Kuliah ini melibatkan Ustazah Asma’ Harun bersama penceramah luar. Kuliah ini akan dijalankan di Dewan Saidatina Asma’, Senawang.

Kebajikan

Setiap hari SAC menjalankan aktiviti kebajikan, dalam membantu dari pelbagai bentuk sumbangan tanpa mengira bangsa dan agama. Selain bantuan harian seperti Gerobok Prihatin (sumbangan barang asas), kita menjalankan pelbagai program untuk keluarga asnaf dan muallaf. 

Agihan Baju Raya

Program agihan baju raya bertujuan untuk berkongsi kegembiraan kepada semua umat Islam yang menyambut Hari Raya Aidilfitri. Agihan ini diberikan khusus kepada keluarga asnaf, muallaf dan mereka yang memerlukan. SubhanAllah, perkongsian ini bukan sahaja dijalankan di pejabat utama SAC malah juga terbuka kepada seluruh negeri bagi yang betul-betul memerlukan. 

Agihan Barang Basah

Berikutan kenaikan harga barang basah kini yang juga menjadi salah satu sebab mereka yang kurang berkemampuan menjadi terhad dalam membeli barang keperluan memasak. SAC mengambil inisiatif untuk mengagihkan sumbangan ini yang mengandungi ayam, sayur-sayuran, ikan bilis dan sebagainya. 

Agihan Bubur Lambuk

Setiap kali datangnya bulan Ramadan, bubur lambuk menjadi salah satu menu utama yang akan disediakan oleh tim Dapur SAC pada setiap hari. Alhamdulillah, bubur lambuk yang disediakan ini akan diagihkan kepada penerima juadah berbuka, agihan di sekitar pejabat utama SAC dan tempat-tempat awam lainnya seperti masjid, surau, stesen minyak, stesen KTM dan banyak lagi.

Agihan Pek Berbuka

Agihan pek berbuka pada setiap hari bulan Ramadan kepada keluarga asnaf, muallaf di sekitar Seremban untuk agihan yang dijalankan di pejabat utama SAC. Namun, sumbangan ini juga telah dijalankan oleh aktivis SAC di negeri masing-masing kepada mereka yang memerlukan.

Mantai Ramadhan

Alhamdulillah berkat bulan Ramadan yang akan menjelang tiba, tradisi melapah daging sebelum Ramadan atau mantai masih diteruskan pada setiap tahun oleh tim NGO Sahabat Amal Care. Program ini dijalankan untuk kita sama-sama merasai kegembiraan bagi menyambut Bulan Ramadan. 

Singgah Sahur

Singgah Sahur merupakan antara program wajib pada bulan Ramadan. Program ini adalah bertujuan untuk memberikan juadah sahur kepada pusat-pusat tertentu seperti Pusat badan kerajaan iaitu Pejabat Polis, Hospital dan banyak lagi. Selain itu, Ramadan kali ini tim dapat bekerjasama dengan Penjara Seremban dan menjalankan Program Singgah Sahur di sana. Program ini menyedarkan kita semua bukan mudah untuk bekerja di mana waktu semua orang sedang lena dibuai mimpi. Terima kasih buat semua terutama jabatan-jabatan yang bekerja diwaktu malam demi menjaga kebajikan rakyat Malaysia. 

Perubatan

Terlalu ramai orang di luar sana yang hanya mampu menahan sakit kerana tiada kemampuan dan keterbatasan dari segi kewangan untuk mendapatkan rawatan atau ubat-ubatan. Kita bantu sedaya mampu dari segi pembiayaan, sumbangan kerusi roda, katil pesakit dan ubat-ubatan. InsyaAllah, SAC juga mempunyai farmasi panel untuk kita mendapatkan khidmat nasihat daripada pakar supaya perubatan yang disumbangkan adalah bertepatan dengan keperluan pemohon.

Program Berkhatan

Program Khatan Perdana adalah antara program dibawah Unit Perubatan yang menjadi salah satu program tahunan. Program ini biasanya dijalankan pada akhir tahun ketika anak-anak cuti sekolah. Program Khatan Perdana ini dijalankan secara percuma sahaj kepada anak-anak asnaf dan muallaf. Selain itu, tim juga menyediakan hadiah buat anak-anak ini untuk memberikan kegembiraan kepada mereka. 

Program Kesihatan

Program Talkshow dan Ujian Saringan Kesihatan dijalankan dengan Kerjasama Cozy Farmasi di Senawang. Tidak dinafikan lebih separuh penerima bantuan Gerobok Prihatin merupakan warga emas yang kebanyakannya menghidap penyakit 3 serangkai. Dengan itu, tim mengambil inisiatif menjemput para asnaf dan muallaf yang berpenyakit untuk bersama dalam program yang dijalankan ini bagi berkongsi ilmu dan memberikan pendedahan serta ujian saringan secara percuma. 

Pendidikan

Bantuan Pendidikan bukan sahaja terbuka kepada pelajar sekolah tetapi kita juga menyediakan bantuan untuk kemasukan universiti buat para mahasiswa. Setiap tahun SAC akan mengadakan program Bantuan Awal ke Sekolah untuk pelajar sekolah menengah dan rendah.

Agihan Baju Sekolah

Set lengkap pakaian sekolah, kasut, bag serta peralatan sekolah diberikan kepada anak-anak asnaf sebelum mula sesi persekolahan di tahun baru. Semoga sumbangan ini memberikan semangat buat anak-anak ini untuk terus belajar dengan lebih rajin dan merekalah yang bakal menerajui negara dan pendakwah hebat untuk agama Islam suatu hari nanti.

Bantuan Pendidikan

Pendidikan merupakan salah satu unit utama di SAC yang juga menjalankan beberapa program khusunya untuk bantuan Pendidikan kepada para pelajar Universiti dan Sekolah Rendah ataupun Menengah. Antara program yang dijalankan adalah Program Bantuan Awal ke Sekolah, Program Dermasiswa untuk pelajar university. 

Misi Khas

Sejak penubuhan SAC, lebih daripada 10 misi khas telah dijalankan yang melibatkan hampir seleruh negeri di Malaysia juga luar negara. Antaranya, misi bantuan banjir kilat, misi kebakaran, misi bantuan bencana alam – ribut taufan dan banyak lagi.

Misi Banjir

Allahu Akbar, saban tahun kita dikhabarkan dengan musibah dan bencana alam seperti banjir yang melanda bumi Malaysia. Sepanjang penubuhan SAC, boleh dikatakan setiap kami musibah ini berlaku tim bersama Ustazah Asma’ Harun akan turun padang untuk menyumbangkan tenaga, sumbangan dan apa jua keperluan mangsa banjir. 

Lebih daripada 10 kali tim telah menjalankan misi bantuan banjir di seluruh Malaysia dengan Kerjasama daripada banyak pihak yang juga bantu memudahkan perjalanan misi yang dijalankan ini.

Misi Bantuan Kebakaran di Sabah

  1. Musibah kebakaran yang berlaku di Jalan Apas Batu 2 1/2 Kampung Sungai Buaya, Tawau telah memusnahkan kira-kira 40 buah rumah setinggan secara keseluruhan. Peristiwa menyayat hati ini berlaku pada Sabtu, 8 Januari 2022 tepat jam 12.30 tengah malam. 😢
  1. Tahun lepas juga ada berlaku musibah kebakaran di Tanjung Aru, Kota Kinabalu Sabah. Terdapat 54 buah keluarga yang terlibat dengan musibah ini. Aktivis kami di Sabah sangat membantu dan terus melaporkan untuk memohon dana bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir. 

Misi Ribut Ipoh

Allahuakbar, kita semua dikejutkan dengan berita tentang ribut dan puting beliung yang menimpa beberapa kawasan Ipoh, Perak petang semalam. Kejadian yang berlaku sekitar jam 6.30 petang dan telah menyebabkan banyak pokok tumbang sehingga menghalang laluan dan menghempap rumah berhampiran. 

Alhamdulillah, tim SAC bersama Ustazah Asma’ Harun turun ke kawasan yang terkesan akibat bencana ini untuk menyantuni dan memberikan sedikit sumbangan bagi mengubat hati mereka yang sedang berduka. 

Rumah Prihatin

SAC juga membantu mereka di luar sana yang mempunyai masalah dari segi rumah, seperti membaiki keadaan rumah, mengecat, bantu proses pemindahan, membaik pulih kerosakan dalam rumah, dan lain-lain permohonan bantuan yang berkaitan dengan rumah. 

Usahawan

Pihak SAC bukan sahaja memberi bantuan dari segi kebajikan tetapi kita juga sangat menggalakkan para asnaf untuk mencari sumber pendapatan dengan apa jua cara lebih-lebih lagi dalam usaha membuat produk dan menjual. Kita akan memberi sokongan dari segi pinjaman bayaran modal perniagaan, penyewaan peralatan seperti mesin, penyewaan tapak perniagaan dan sebagainya

Aktivis

Alhamdulillah, program dan aktiviti SAC bukan sahaja dijalankan di Negeri Sembilan yang merupakan pejabat utama SAC namun kami ada wakil dan aktivis di setiap negeri untuk sama-sama berganding bahu menjalankan amanah dan tanggungjawab dalam bersama menyebarkan dakwah dan menjalankan aktiviti kebajikan.